NGO’s, Persatuan Dan Kelab Teruskan Kerja-Kerja Kemasyarakatan Kepada Masyarakat Memerlukan

ISNIN, 29 MAC 2021

LIMBANG: Kerja-kerja kemasyarakatan seperti gotong-royong perlu diamal dan diteruskan dari semasa ke semasa dalam menyantuni masyarakat yang memerlukan bantuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang berkata, ini termasuklah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO’s) dan persatuan atau kelab bagi menjalinkan hubungan erat di kalangan ahli-ahli dan masyarakat. 

“Terima kasih kerana saling membantu dan adalah menjadi tanggungjawab kita sebagai manusia yang sempurna untuk membantu orang yang memerlukan.

“Tanggungjawab sosial korporat yang ditunjukkan setiap ahli NGO’s dan kelab patut diteladani masyarakat luar. 

“Aktiviti gotong-royong seperti ini adalah antara landasan penduduk kampung untuk menjalinkan hubungan erat dalam kalangan ahli bersama agensi kerajaan dan NGO’s,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Gotong-Royong Baik Pulih Kediaman OKU Bakar Yasat di Kampung Pandak pada Sabtu. 

Dalam majlis itu, Paulus yang mewakili SABERKAS Cawangan Batu Danau telah menghulurkan sedikit bantuan kewangan dan barangan makanan kepada Bakar.

Sementara itu, isteri ADUN Batu Danau Mary Sindang yang mewakili Sarawak Badan Amal Isteri-isteri (SABATI) turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan makanan kepada OKU berkenaan.

Hadir sama wakil Pegawai Daerah Limbang Faizul Abdullah, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pandak Jinah Nanggang, Pengerusi Kelab 4×4 Batu Danau Ketua Kaum Julain Injan, Ketua Pergerakan Pemuda PBB Batu Danau Kaunselor Elvis Mathew Bungsu dan Pengerusi-Pengerusi Unit SABERKAS Cawangan DUN Batu Danau. -EDISI UKAS

Share

add comment