Pelbagai Cara Boleh Digunakan Untuk Mendaftar Sebagai Penerima Vaksin COVID-19

ISNIN, 29 MAC 2021

MIRI: Menteri Bertanggungjawab Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri Datuk Lee Kim Shin terus mengingatkan orang ramai supaya mendaftar bagi menerima vaksin COVID-19.

Katanya, pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 menerusi teknologi seperti menggunakan Aplikasi MySejahtera dan mengisi borang yang boleh didapati di Pejabat Daerah dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). 

“Orang ramai diseru untuk mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera dengan menggunakan telefon pintar.

“Bagi mereka yang tiada telefon pintar boleh mendaftar dengan mengisi borang di Pejabat Daerah, Ketua-ketua Kaum dan Masyarakat (KMKK) atau Jawatankuasa Penduduk (di bawah Majlis Bandaraya Miri, Majlis Daerah Subis, Majlis Daerah Marudi) khususnya untuk mendapatkan suntikan vaksin bagi Fasa 2 dan 3 yang akan datang,” katanya menerusi kenyataan media selepas mengetuai rombongan JPBB Miri meninjau Program Suntikan Vaksin COVID-19 Dos Kedua di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Dato’ Permaisuri Miri pada Ahad. 

Ujarnya lagi, pendaftaran awal vaksin COVID-19 akan memudahkan urusan persiapan awal pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pengumpulan data jumlah penerima berdaftar dan sebagainya. 

Datuk Lee yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin menambah, penerima vaksin tidak perlu khuatir atau bimbang mengenai vaksin COVID-19 kerana kerajaan telah memastikan vaksin Pfizer-BioNTech selamat dan berkesan serta tidak membawa sebarang reaksi yang teruk terhadap tubuh badan. 

“Mulai dari aliran sistem pendaftaran sehinggalah ke prosedur tamat suntikan adalah sangat terancang dan mematuhi SOP yang ketat,” tambahnya. 

Hadir sama Pengerusi JPBB Miri merangkap Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr. P. Raviwharmman, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Tudan Dr. Maurice Steve Utap dan Pengarah Hospital Miri Dr. Jack Wong Siew Yu. -EDISI UKAS

Share

add comment