Projek RMKS Rumah Naing Kini 84 Peratus Siap

ISNIN, 29 MAC 2021

BETONG: Projek Rancangan Memulihkan Koridor Sungai (RMKS) Rumah Nyalau Naing di Muman, Spak, Betong setakat 10 Mac 2021 telah mencapai kemajuan fizikal 84 peratus siap.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Gerald Rentap Jabu berkata, projek yang bernilai lebih RM1.72 juta itu dilaksanakan pada 17 Disember 2019.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Program Gotong Royong Perdana bersempena Hari Air Sedunia 2021 Peringkat Bahagian Betong di rumah panjang tersebut pada Sabtu.

Sementara itu, Gerald Rentap berkata, program anjuran Jabatan Pengairan Dan Saliran Sarawak (DID) tersebut bertujuan memberikan kesedaran kepada penduduk Rumah Nyalau untuk menghargai sumber air.

“Hari ini kita menyambut Hari Air Sedunia untuk mengingati kepentingan air dalam kehidupan seharian kita,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kepada penduduk rumah panjang untuk menjaga kebersihan sungai terutamanya Sungai Spak yang merupakan salah satu daripada sumber air utama di Bahagian Betong.

Dalam pada itu juga beliau turut menyerahkan cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,500 bagi pihak Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat kepada pihak Jawatankuasa Keselamatan Dan Kemajuan Kampung (JKKK) rumah panjang tersebut sereta mengumumkan kelulusan permohonan satu unit kipas siling kepada setiap 32 keluarga di situ. –EDISI UKAS

Share

add comment