Promosi Program Imunisasi Kebangsaan Terus Dipergiatkan Termasuk Di Kawasan Pedalaman

ISNIN, 29 MAC 2021

LIMBANG: Kerajaan secara berterusan akan mempromosikan Program Imunisasi Kebangsaan ini kepada masyarakat.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, promosi ini termasuklah mereka yang berada di luar bandar dan pedalaman.

“Promosi memang telah kita dilakukan melalui pelbagai cara antaranya melalui media massa tradisional di televisyen di semua saluran, juga hebahan melalui surat khabar-surat khabar.

“Selain itu, kita juga turut mempromosikan kempen pendafataran vaksin COVID-19 ini melalui media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya,” katanya semasa ditemui selepas menerima suntikan vaksin COVID-19 dos kedua dalam Program Imunisasi Kebangsaan di Dewan Suarah Limbang pada Sabtu.

Tambahnya lagi, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Tuai-Tuai Rumah juga diminta untuk membantu Pejabat Daerah untuk mendaftarkan orang ramai dalam mendapatkan vaksin COVID-19 selain menggunakan aplikasi MySejahtera. 

Untuk fasa pertama Program Imunisasi Kebangsaan di Daerah Limbang, lebih 1,000 petugas barisan hadapan telah terlibat menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dan akan turut menerima dos kedua bermula Ahad. 

Dalam pada itu, Timbalan Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah ketika diajukan soalan yang sama berkata, kempen Program Imunisasi Kebangsaan ini akan turut dipromosikan menerusi Program Malaysia Prihatin. 

“Kita akan pergiatkan kempen pendaftaran vaksin COVID-19 menerusi Program Malaysia Prihatin yang akan dilaksanakan di kawasan DUN Batu Danau dan DUN Bukit Kota.

“Kita sememangnya akan mempromosikan betapa pentingnya pemvaksinan ini kepada rakyat kita untuk menangani COVID-19 ini. 

“Semua pihak harus bersama-sama mengadakan kempen untuk meningkatkan keyakinan rakyat,” katanya. 

Dalam majlis itu, Datuk Hasbi Habibollah telah menyampaikan cek berjumlah RM30,000 kepada Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh untuk pembinaan tandas dan menaik taraf stor simpanan Unit Haemodialisis, Hospital Limbang.

Turut hadir Timbalan Residen Bahagian Limbang Sebi Abang, Pegawai Daerah Limbang Superi Awang Said dan Pegawai Kesihatan Bahagian Limbang Dr. Norliza Jusoh. -EDISI UKAS

Share

add comment