222 Petugas Barisan Hadapan Daerah Limbang Sertai Pemberian Suntikan Vaksin COVID-19 Dos Pertama Dan Kedua

SELASA, 30 MAC 2021

LIMBANG: Seramai 222 petugas barisan hadapan di Daerah Limbang menerima suntikan vaksin COVID-19 dos pertama dan kedua di Dewan Suarah Limbang pada Ahad. 

Daripada jumlah itu, 178 orang petugas barisan hadapan mendapat suntikan vaksin COVID-19 bagi dos pertama dan selebihnya mendapat dos kedua. 

Mereka ini terdiri daripada pegawai Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), guru-guru, pegawai Persekutuan dan agensi kerajaan di bawah Kerajaan Sarawak. 

Turut sama menerima vaksin COVID-19 dos kedua ialah Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia yang juga Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah dan Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak yang juga AHli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. 

Pemberian vaksin COVID-19 ini berlangsung selama dua hari bermula 28 hingga 29 Mac 202. 

Dalam pada itu, jumlah pendaftaran vaksin VOVID-19 untuk masyarakat awam di Daerah Limbang masih rendah sekitar 40 peratus sahaja. 

Menurut Pegawai Kesihatan Limbang, satu pasukan kempen khas telah ditubuhkan dan akan bekerjasama dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menyampaikan kebaikan Imunisasi COVID-19 ke seluruh Daerah Limbang. 

Selain itu, pelbagai kempen telah dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyedarkan orang ramai tentang pentingnya untuk mengambil Vaksin COVID-19 ini.

Share

add comment