ADUN Batu Kitang Sumbang Bantuan Makanan Di Kampung Landeh

SELASA, 30 MAC 2021

PADAWAN: Prihatin dengan nasib sebuah keluarga yang dikuarantin di Kampung Landeh, Kota Padawan, ADUN Batu Kitang, Lo Khere Chiang dan Pengerusi Persatuan Penggerak Kemajuan Kota Padawan dan JKKK Kampung Landeh Albert Lee Joo Hee telah menyerahkan bantuan makanan kepada keluarga tersebut.

Lo Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) memberitahu, beliau telah menerima laporan daripada Ketua Kampung Landeh, Pi-ee Johari mengenai salah seorang penduduk kampung yang dijangkiti COVID-19.

“Ketua Kampung Landeh telah melaporkan bahawa sebuah keluarga dikenakan kuarantin di kampung Landeh selama 14 hari.

“Seorang penduduk telah disahkan positif COVID-19 dan dikuarantin di Kementerian Belia dan Sukan Malaysia manakala ahli keluarganya dikuarantin di rumah sendiri selama 14 hari bermula 30 Mac 2021 hingga 7 April 2021,” katanya ketika menyerahkan sumbangan tersebut pada Selasa.

Tambah beliau, sumbangan itu adalah bagi membantu mereka mempunyai bekalan makanan yang mencukupi selama 14 hari dikuarantin.

Dalam pada itu, beliau menasihati penduduk setempat untuk sentiasa berhati-hati dengan menjaga kebersihan diri sendiri dan berwaspada dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memutuskan rantaian COVID -19.-EDISI UKAS

Share

add comment