ADUN Semop Tinjau, Serah Projek Di Pulau Bruit

SELASA, 30 MAC 2021

PULAU BRUIT: Menteri Muda Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) dan Unit Komunikasi Awam Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop, Abdullah Saidol telah melakukan lawatan kerja di Pulau Bruit.

Lawatan beliau itu turut menyaksikan majlis serah tapak Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Semop yang telah siap kepada empat buah kampung di Pulau Bruit bernilai RM940,000, pada Selasa.

“Projek ini adalah sebahagian daripada 33 projek RTP yang dicadangkan pada tahun 2019 untuk dilaksanakan dalam kawasan DUN Semop pada tahun 2020.

“Oleh kerana pandemik COVID-19 melanda dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah belakunya kelewatan sebahagian besar pelaksanaan projek,” katanya ketika ditemui.

Projek tersebut termasuk projek bina baharu jambatan Kampung Laut Penipah bernilai RM270,000 dan menaiktaraf Jalan Sesco, Kampung Bruit bernilai RM250,000.

Beliau seterusnya meninjau cadangan 10 tapak projek RTP di kampung yang sama bernilai RM3.1 juta.

Projek ini termasuk naiktaraf jalan dalam Kampung Hulu Semop yang menelan kos RM450,000, naiktaraf jalan dalam Kampung Betanak (RM550,000) dan projek jambatan dan jalan tanah perkuburan Kampung Tekajong bernilai lebih kurang RM450,000.

Ujarnya, projek-projek yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat ini adalah sebahagian daripada 18 projek RTP yang telah dipohon dan diserahkan kepada Pejabat Residen pada tahun 2020 untuk dilaksanakan pada 2021.

“Memandangkan projek jalan utama di utara Pulau Bruit yang menempatkan tujuh kampung telah ditar, sebahagian besar penduduk mengharapkan jalanraya dalam kampung mereka dapat dinaiktaraf.

“Justeru itu, sebahagian besar peruntukan RTP sejak tiga tahun yang lepas digunakan untuk menaiktaraf atau membina baharu banyak jalan dalam kampung dan rumah panjang.

“Peruntukan RTP juga digunakan untuk membaiki rumah ibadah dan menaiktaraf kemudahan lain seperti dewan dan jeti awam,” jelasnya.

Semasa lawatan kerja ini, Abdullah juga menerima beberapa permohonan baru untuk beberapa projek kecil dalam kampung seperti peparitan dan tempat letak kereta.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk memberi perhargaan kepada agensi-agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sama ada di peringkat daerah atau bahagian.

“Agensi kerajaan ini telah memberikan kerjasama dan kesungguhan termasuk turun kerja pada hujung minggu untuk memastikan pelbagai projek terutamanya di luar bandar yang dipohon wakil rakyat dapat dilaksanakan dengan segera,” tambahnya. -EDISI UKAS

Share

add comment