Balai Bomba Sukarela Rumah Salin Bernilai RM170,000 Kini Sedang Dalam Pembinaan

SELASA, 30 MAC 2021

BELURU: Balai Bomba Sukarela Rumah Salin yang berjumlah RM170,000 kini sedang dalam pembinaan.

Menurut Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, pembinaan Balai Bomba Sukarela ini berupaya memendekkan tempoh bertindak termasuk ketibaan di lokasi kejadian sekiranya berlaku kes kecemasan di kawasan Beluru dan Tinjar. 

“Balai Bomba Sukarelawa ini dibina di Rumah Salin kerana lokasinya yang strategik serta mengambil kira rekomendasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Miri.

“Ini merupakan langkah penyelesaian jangka masa pendek sementara menunggu sebuah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Beluru,” katanya menerusi entri terbaru di laman Facebooknya pada Ahad. 

Pembinaan Balai Bomba Sukarela ini merupakan sebahagian daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Dewan Undangan Negeri (DUN) Marudi. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberitahu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) berperanan sebagai pasukan penyelamat bagi menyalurkan bantuan awal sebelum ketibaan pegawai dan anggota dari BBP Miri sekiranya berlaku sebarang bencana. -EDISI UKAS

Share

add comment