COVID-19: 211 Kes Baharu Pulih, Dua Kematian Direkodkan Di Sarawak

SELASA, 30 MAC 2021

KUCHING: Sarawak mencatatkan sebanyak 211 kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang telah pulih atau dibenarkan discaj meningkat kepada 13,255 orang atau 81.75 peratus.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dalam kenyataan medianya pada Selasa memberitahu, ianya adalah dari Hospital Miri (63), Hospital Bintulu (32), Hospital Umum Sarawak (30), Hospital Sibu (29), PKRC di bawah Hospital Sri Aman (18), PKRC Betong (18), PKRC di bawah Hospital Kapit (7), Hospital Sarikei (5), PKRC Mukah (5) dan PKRC Serian (4). 

Dalam pada itu, JPBNS turut memaklumkan terdapat dua kes kematian baharu melibatkan lelaki warga tempatan Sarawak menjadikan jumlah kematian akibat jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada seramai 107 orang. 

Kes kematian ke-106 merupakan individu berumur 33 tahun yang telah menerima rawatan di Hospital Miri kerana mengalami kesesakan pernafasan dan mempunyai gejala batuk sehari sebelum mendapatkan rawatan di hospital. 

Saringan ujian COVID-19 dengan rT-PCR adalah positif COVID-19 pada 28 Mac 2021.

Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia 28 Mac 2021.  Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi. 

Manakala, kes kematian ke-107 merupakan individu berumur 61 tahun yang telah menerima rawatan di Hospital Bintulu setelah saringan kontak rapat dengan ujian rT-PCR adalah positif pada 20 Mac 2021. 

Keadaan kesihatan kes didapati merosot dan disahkan meninggal dunia 30 Mac 2021. Kes mempunyai ko-morbid penyakit darah tinggi dan kencing manis.

Tambah kenyataan itu, terdapat 153 kes baharu COVID-19 dikesan dengan Daerah Sibu mencatatkan sebanyak 40 kes, Miri (33), Kuching (20), Bintulu (18), Meradong (11), Marudi (6), Beluru (5), Julau dan Tanjung Manis masing-masing (4), Sarikei, Subis, dan Sri Aman masing-masing (3), Samarahan (2) dan Sebauh (1).

Sehubungan itu, Daerah Tanjung Manis telah bertukar status daripada status Kuning kepada status Jingga setelah merekodkan sejumlah 23 kes jangkitan tempatan dalam tempoh 14 hari yang lepas. 

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus jingga telah meningkat kepada lima daerah. 

Manakala 11 daerah kekal berstatus merah, 16 daerah kekal berstatus kuning dan lapan daerah kekal berstatus hijau.-EDISI UKAS

Share

add comment