Jaringan Telekomunikasi Akan Dipertingkatkan Di DUN Kabong

SELASA, 30 MAC 2021

KABONG: Jaringan kemudahan komunikasi yang lancar pada masa kini amat penting dan merupakan salah satu kemudahan asas yang sering mendapat permintaan masyarakat terutama yang tinggal di kawasan luar bandar.

Mengambil kira perkembangan arus teknologi dan tuntutan keperluan semasa yang bergantung kepada kemudahan ini adalah sebab utama permintaan masyarakat terhadap kemudahan ini meningkat dari semasa ke semasa.

Justeru itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Mohd Chee Kadir akan terus berusaha untuk memantapkan kemudahan ini dengan melaksanakan beberapa pelan telekomunikasi di kawasan Kabong.

Ia merangkumi pembinaan menara telekomunikasi dan juga beberapa kemudahan yang lain seperti memasang perkhidmatan Wi-Fi ‘Saluran 200’ menggunakan teknologi satelit ‘Very Small Aperture Terminal’ (VSAT) dan SRBN (Sarawak Rural Broadband Network) FWA technology.

Usaha yang dilakukan ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri Sarawak melalui Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) untuk memasang jalur lebar tanpa wayar ke kawasan pedalaman.

Hari ini, satu pemantauan telah dilaksanakan oleh pihak SMA yang turut dihadiri Setiausaha Politik Kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak Samad Ghani, wakil Pengurus Besar SMA Awang Johari Awang Mustapa, Pegawai Tadbir SMA Unit Komunikasi James Bungan dan Pegawai Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir.

Setakat ini, pelaporan projek adalah SMART 300 (ongoing), PHASE2 300 (by 2021) dan JENDELA MCMC (by 2021).

Kemudahan telekomunikasi ini sangat praktikal sebagai penyelesaian sementara masalah telekomunikasi di kawasan yang tidak ada perkhidmatan rangkaian mudah alih. – EDISI UKAS

Share

add comment