Kerjasama Erat Penduduk Dan JKKK Pastikan Keselamatan Kampung Terus Dipelihara

SELASA, 30 MAC 2021

MARUDI: Kerjasama di antara penduduk dan ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) penting untuk kesejahteraan bersama. 

Timbalan Speaker DUN Sarawak Dato Gerawat Gala berkata, menerusi kerjasama erat akan memastikan kemajuan dan keselamatan kampung terus dipelihara. 

“Amalan Komuniti Policing seperti yang telah dipelajari JKKK sebelum ini akan dapat memastikan kampung tersebut aman dan damai.

“Penularan wabak COVID-19 misalnya, membolehkan penduduk dan JKKK bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan pematuhan amalan Proseur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya semasa ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Rumah Umbar Sungai Melikat pada Sabtu. 

Pada majlis itu, Dato Gerawat telah meluluskan permohonan penduduk bagi membuat sistem perparitan di rumah panjang ini dan menyampaikan sebanyak RM10,000 untuk JKKK Rumah Umbar dan RM3,500 untuk SIDS Rumah Umbar. 

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu turut mengadakan lawatan kerja ke Rumah Tanjung Stapang B untuk meninjau Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) yang sedang dan akan diadakan di rumah panjang di sini. 

Hadir sama Pengerusi Majlis Daerah Marudi Kaunselor Edward Mendai, Ketua Masyarakat Iban Kawasan Marudi Pemanca Randie Bundan, Ketua Masyarakat Iban, Kawasan Puyut Lubok Nibung Penghulu Hillary Tawan Acai dan Tuai-tuai Rumah. -EDISI UKAS

Share

add comment