KMKK Harus Peka Dengan Pelaksanaan Projek Di Kampung Masing-Masing

ISNIN, 29 MAC 2021

SEMOP: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) harus sentiasa peka dengan projek yang sedang dilaksanakan dalam kampung masing-masing.

Menurut Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) merangkap ADUN Semop, Abdullah Saidol, KMKK juga perlu menjalinkan kerjasama baik bersama agensi dan wakil rakyat supaya sebarang masalah yang timbul di peringkat kampung dapat diatasi dengan segera.

Katanya, pemimpin akar umbi perlu bijak dan berkompromi dalam menyelesaikan masalah di peringkat kampung bagi menghindar sebarang masalah menjadi lebih kritikal.

Malah, JKKK dan semua pemimpin tegas beliau mesti bertindak dengan bijak menangkis persepsi yang timbul di kalangan masyarakat.

Beliau berkata demikian semasa Program Community Engagement Daerah Daro 2021 Siri II di Dewan Masyarakat Kampung Semop pada Isnin.

Menjelas lanjut, Abdullah berkata Kawasan Pulau Bruit sedang membangun secara berperingkat dengan pelbagai perancangan pembangunan telah dirancang.

Katanya, masalah bekalan air bersih yang menjadi isu paling besar di Pulau Bruit sedang dalam proses penambahbaikan.

Mengenai program tersebut, Abdullah berkata ianya diadakan bagi memperkasakan peranan, tanggungjawab dan tatakerja KMKK.

Pada program sama, Abdullah turut menyampaikan sumbangan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah keseluruhan RM77,995.

Penerima ialah JKKK Kampung Bruit (RM1748), JKKK Kampung Betanak (RM2247), Kampung Penibong (RM1000), PIBG SMK Semop (RM16,000), PIBG SK Tekajong (RM54,000) dan PDK As Safiee Daro (RM3000).

Beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada JKKK dan KMKK yang telah tamat perkhidmatan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abdul Wahab memberitahu terdapat peruntukan dalam perlembagaan negara berkenaan perkara-perkara yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan darurat.

Katanya, langkah kerajaan melaksanakan darurat terbukti berjaya apabila jumlah kes COVID-19 dalam negara menunjukkan penurunan ketara.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru peserta terlibat untuk menyampaikan maklumat berkenaan program imunisasi kebangsaan supaya ramai yang mendaftar untuk menerima vaksin.

Pada program itu, beliau mewakili Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Dan Sarawak), Dato Hajah Hanifah Hajar Taib untuk memberi taklimat berkenaan program Malaysia Prihatin di kawasan Tanjong Manis.

Seramai 46 peserta yang terdiri daripada JKKK Kampung sekitar Pulau Bruit menyertai program tersebut yang dilaksanakan mengikut SOP ditetapkan. – EDISI UKAS

Share

add comment