Lubok Antu Jadi ‘Gateway’ Perdagangan Di Wilayah Tengah Sarawak

SELASA, 30 MAC 2021

LUBOK ANTU: Lubok Antu berpontensi besar menjadi ‘gateway’ atau hab perdagangan utama bagi kawasan di wilayah tengah negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, ini kerana Lubok Antu memiliki sumber dalam pelbagai sektor industri yang mampu memacu pertumbuhan ekonomi.

Malah menurut beliau, lokasi Lubok Antu yang strategik iaitu terletak di kawasan sempadan antara Sarawak dan Kalimantan, Indonesia juga menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat.

“Saya nampak potensi Lubok Antu dan kawasannya adalah cerah apabila adanya peningkatan laluan perdagangan di antara rakan kita di bandar dengan Kalimantan, Indonesia dengan Sarawak.

“Sehubungan itu, kita perlu membangunkan atau menambah baik pelabuhan darat dalam merangsang ekonomi setempat sekaligus menjadi Lubok Antu sebagai salah satu ‘gateway’ ekonomi di wilayah tengah,” katanya semasa berucap semasa lawatan kerja ke Lubok Antu di Dewan Kompleks Sukan Lubok Antu pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar (Dr) James Jemut Masing, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian merangkap ADUN Batang Ai, Datuk Malcom Mussem Lamoh, Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, inisiatif tersebut merupakan antara strategi ekonomi negeri pasca pandemik COVID-19 dalam memacu negara menjadi lebih pesat serta mendorong ekonomi supaya bertambah rancak.

“Limpahan pelaburan itu kelak akan diterjemahkan melalui penjanaan peluang ekonomi dan perniagaan baharu di antara Sarawak dan Indonesia yang dirangsang oleh kepesatan perhubungan dan jaringan telekomunikasi,” jelasnya.

Dalam majlis sama, Ketua Menteri turut mengumumkan kelulusan peruntukan sebanyak RM3 juta bagi memasang lampu jalan dari Pekan Lubok Antu ke Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lubok Antu.

Jelas Ketua Menteri, beliau telah mengarahkan Majlis Daerah Lubok Antu bagi mempercepatkan kerja-kerja pemasangan lampu jalan yang melibatkan laluan kira-kira 7.5 kilometer itu.

Sementara itu, beliau turut mengumumkan kelulusan projek bagi pembinaan sebuah jambatan yang menghubungkan Tebingan Sungai Lubok Antu ke kampung seberang bagi menyemarakkan lagi aktiviti sosial di situ.

Terdahulu Ketua Menteri tiba melakukan lawatan sehari ke Lubok Antu pada pukul 10.30 pagi sebelum beliau menghadiri taklimat pelbagai agensi di ICQS Lubok Antu.

Taklimat tersebut berkaitan usaha kerajaan untuk memperketatkan kawalan keselamatan di kawasan sempadan antara Lubok Antu, Sarawak dengan Kalimantan, Indonesia.

Sejurus taklimat tersebut, beliau telah mengagihkan bakul makanan kepada para petugas barisan hadapan di ICQS Lubok Antu.

Selepas itu, Ketua Menteri bersama rombongan seterusnya melakukan lawatan ke Lubok Antu Riverine Park. -EDISI UKAS

Share

add comment