Pejabat Daerah Matu Baharu Siap Sepenuhnya, Mula Beroperasi Tidak Lama Lagi

SELASA, 30 MAC 2021

MATU: Pejabat Daerah Matu baharu yang dibina dengan kos RM4.8 juta telah siap sepenuhnya dan akan beroperasi tidak lama lagi.

Penyerahan pejabat baharu itu disempurnakan oleh Pengurus Projek (Bangunan) Jabatan Kerja Raya, Ateh Charles Kedu kepada Pegawai Daerah Matu, Wan Hipni Wan Mohamad dan disaksikan ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid Diraja Dr Juanda Jaya pada Selasa.

Ketika ditemuramah UKAS, Dato’ Dr Juanda melahirkan rasa syukur kerana pembinaan pejabat baharu yang bermula sejak 2017 tersebut akhirnya siap walaupun mengalami kelewatan.

Beliau juga berharap pejabat baharu terletak di kawasan kawasan Bruan Mapal itu akan menjadikan kakitangan Pejabat Daerah Matu terus bersemangat dan berdedikasi untuk menyampaikan khidmat terbaik kepada masyarakat.

Sementara itu ketika ditemuramah, Wan Hipni berharap pihaknya dapat berpindah di pejabat baharu itu secepat mungkin agar mereka dapat meneruskan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat di situ.

Menurutnya, ia hari yang cukup bersejarah bagi Pejabat Daerah Matu selepas mendapat pejabat baharu yang telah dirancang sejak empat tahun lalu.

Pejabat baharu itu hanya menunggu kemasukan sebahagian perabot untuk melengkapkan bangunan tersebut bagi membolehkan kakitangan berpindah masuk.

Terdahulu, Datuk Dr Juanda telah mengadakan lawatan ke Kampung Pergau untuk meninjau projek Bina Baru Pusat Bimbingan Al-Quran dan Tahfiz Matu serta lawatan terhadap kerja-kerja menaiktaraf Dewan Masyarakat Kampung Pergau, Matu Fasa 2.

Beliau turut meninjau tapak bagi Projek Gelanggang Futsal Kampung Loba Balu. – EDISI UKAS

Share

add comment