Peranan Jabatan Pertanian Penting Bantu Perkasa Pertanian Luar Bandar

SELASA, 30 MAC 2021

MATU: Peranan Jabatan Pertanian penting bagi memastikan usaha kerajaan membantu rakyat terutamanya di luar bandar memperkasakan bidang pertanian mencapai objektifnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Dato’ Dr Juanda Jaya berkata, jabatan tersebut bukan hanya melakukan pemantauan malah perlu membuat kajian sekiranya projek pertanian rakyat gagal untuk tindakan susulan.

“Setiap bantuan untuk program pertanian perlu dipantau untuk kita mengetahui sama ada ianya berjaya atau sebaliknya.

“Sekiranya gagal, Jabatan Pertanian perlu beperanan melakukan kajian bagaimana untuk kita menilai dan membantu rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan bantuan Program Fasilitasi Pertanian (AFP) dan penyerahan ‘Kenyalang Gold Card’ di Matu pada Isnin.

Sementara itu, di Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan dan Penghargaan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Jemoreng, beliau percaya kepuasan bagi KMKK adalah melihat perubahan pembangunan di kampung masing-masing.

Ujarnya, segala yang dilakukan adalah berdasarkan keperluan penduduk tanpa melihat latar belakang dan perbezaan fahaman politik.

“Peranan KMKK bukan melihat latar belakang atau pun fahaman politik penduduk.

“Apa yang penting ialah KMKK menjalankan amanah dengan baik demi kepentingan bersama,” tambahnya.

Pada majlis tersebut, Asri Dolah telah diberi kepercayaan untuk menjawat jawatan sebagai Pemanca Kaum Melanau Daerah Matu manakala tujuh orang KMKK lagi disambung tempoh perkhidmatan.

Lawatan Dato Dr Juanda ke Matu diteruskan dengan majlis penyerahan projek siap, serah tapak projek dan menyenaraikan projek naik taraf di Kampung Jemoreng, Kampung Tian dan Kampung Sekaan Kecil. -EDISI UKAS

Share

add comment