Projek RTP Ubah Landskap Pembangunan Di Luar Bandar

SELASA, 30 MAC 2021

BINTANGOR: Pelaksanaan Projek Transformasi Luar bandar (RTP) banyak membawa kemajuan serta mengubah landskap pembangunan di kawasan luar bandar khasnya di daerah Meradong.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing, pelan pembangunan melalui projek RTP memainkan peranan yang amat penting dalam usaha kerajaan merapatkan jurang pembangunan kawasan luar bandar dengan bandar.

Jelasnya, projek RTP telah banyak membantu untuk menyelesaikan pembangunan infrastruktur di luar bandar dalam aspek menaiktaraf prasarana surau, gereja dan sekolah.

Dalam hal ini, Datuk Ding amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kerana meluluskan peruntukan untuk projek RTP di Bintangor.

Pada masa sama, beliau menyeru penduduk di Bintangor untuk terus menyokong kerajaan Gabungan parti Sarawak (GPS) bagi memastikan kesinambungan projek di kawasan luar bandar.

Beliau menjelas demikian semasa meninjau tiga projek RTP di Bintangor pada Isnin.

Projek berkenaan adalah naiktaraf prasarana Surau Al Muhajirin, Taman Bintang Bintangor (RM200,000), naiktaraf prasarana SJK (c) Nam Chiew, Sungai Meradong  (RM100,000) dan naiktaraf Bangunan Zhen Guang Methodist Church Fasa 3, Meradong (RM400,000).

Sementara itu, semua warga Surau Al Muhajirin, SJK (c) Nam Chiew dan Zhen Guang Methodist Church mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak dan ADUN Meradong kerana telah meluluskan projek RTP tersebut. – EDISI UKAS

Share

add comment