Satu Jawatankuasa Khas Ditubuhkan Untuk Permudahkan MRP-PPRMS DUN Bukit Sari

SELASA, 30 MAC 2021

LAWAS: Permohonan yang banyak dalam Projek Perumahan Rakyat Miskin Sarawak (PPRMS) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari menyebabkan satu jawatankuasa khas ditubuhkan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, jawatankuasa ini melibatkan jabatan teknikal, Pejabat Daerah dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) untuk permudahkan permohonan.

“Peruntukan tahunan sebanyak RM1 juta, tetapi permohonan yang diterima terlalu banyak.

“Oleh itu, kita akan beri kepada mereka yang diutamakan terlebih dahulu dan ianya dibuat secara berperingkat.

“Sekarang peruntukan untuk baik pulih dan bina baru rumah juga dibantu oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB),” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Program Gotong Royong Projek Kerajaan Sarawak MRP – PPRMS DUN Bukit Sari di Kampung Dato, Kuala Lawas pada Isnin.

Bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Sari dari penghujung tahun 2019 hingga 18 Januari 2021, sebanyak 257 buah rumah telah dibaik pulih dengan kos RM2.4 juta. 

Dalam perkembangan lain, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari memberitahu Kampung Dato, Kampung Pemukat dan Kampung Nor Islam akan dilaksanakan projek pembesaran kampung dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Katanya, ini bertujuan untuk memberi kemudahan rumah serta infrastruktur seperti jalan raya, parit konkrit dan tanah-tanah tersebut ditembok dengan semuanya ditanggung Kerajaan Sarawak. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment