Seramai 14,807 Penduduk Meradong Telah Mendaftar Vaksin COVID-19

SELASA, 30 MAC 2021

BINTANGOR: Seramai 14,807 penduduk di Daerah Meradong telah mendaftar mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Jumlah tersebut terbahagi kepada 10,724 orang mendaftar melalui Pejabat Daerah Meradong dan 3,448 lagi menggunakan aplikasi MySejahtera selain 635 orang mendaftar di Pejabat Kesihatan.

Daerah Meradong mensasarkan mendaftar 17,215 penduduknya mendapatkan vaksin yang kini masih kurang lebih 2,000 lagi untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing merakamkan penghargaan kepada Ketua Kaum Cina yang telah berusaha membantu memudahkan proses pendaftaran tersebut.

Bercakap semasa mesyuarat mengenai status pendaftaran vaksin COVID-19 Daerah Meradong pada Selasa, katanya, inisiatif mereka termasuk mengedarkan borang pendaftaran dari rumah ke rumah amat dihargai.

Namun katanya, Ketua Kaum Cina perlu berusaha lebih dan memainkan peranan penting menyakinkan penduduk untuk bersama-sama mendapatkan vaksin COVID-19.

Pada majlis tersebut Datuk Diing turut menyaksikan Majlis Penyerahan Sijil Pelanjutan Ketua Kaum kepada tujuh orang kapitan.-EDISI UKAS

Share

add comment