Berkuatkuasa 5 Hingga 18 April 2021, Individu Yang Memasuki Bahagian Bintulu Perlu Jalani Ujian Saringan COVID-19 (rT-PCR)

RABU, 31 MAC 2021

BINTULU: Pejabat Kesihatan Bintulu memaklumkan kebanyakan kes COVID-19 di Bahagian Bintulu berpunca daripada pergerakan individu dari luar Zon Bintulu dan seterusnya menjangkiti komuniti serta menyebabkan jangkitan di tempat kerja.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu Jack Aman Luat berkata, sehubungan itu JPBB Bintulu mencadangkan semua individu yang ingin masuk ke Zon Bintulu wajib melakukan ujian saringan COVID-19 dalam masa tiga hari sebelum melakukan perjalanan.

“Mereka wajib menjalani ujian saringan COVID-19 (rT-PCR) sebelum memasuki Zon Bintulu. 

“Pendekatan rT-PCR ini akan berkuatkuasa mulai 5 April hingga 18 April ini.

“Ini bagi memastikan jangkitan dalam komuniti dapat dikurangkan,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media Perkembangan Terkini dan Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Baharu Menangani COVID-19 Di Bintulu pada Rabu. 

Jack yang juga Residen Bahagian Bintulu menambah, keputusan ujian saringan tersebut hendaklah menjadi dokumen sokongan semasa memohon permit polis untuk merentas zon.

“Sekiranya tiada keputusan ujian saringan COVID-19, pihak polis disaran untuk tidak meluluskan permit pergerakan tersebut. 

“Sekiranya ada individu yang didapati tidak mempunyai dokumen keputusan ujian saringan COVID-19, mereka akan dihalang daripada masuk ke Bahagian Bintulu atau akan dimasukkan ke pusat kuarantin selama 14 hari dengan segala kos kuarantin serta ujian saringan akan dibiayai individu itu sendiri,” tambahnya. 

Bagaimanapun, Jack berkata pengecualian akan diberikan kepada individu yang perlu merentas masuk ke Bahagian Bintulu atas sebab kecemasan dan dokumen sokongan hendaklah dilampirkan (seperti temu janji di hospital atau menghadiri pengebumian). 

“Bagi individu di bawah kategori perkhidmatan penting (essential services) yang melakukan perjalanan ulang-alik secara kerap ke Bintulu akan diberikan kelonggaran iaitu keputusan ujian saringan COVID-19 adalah sah bagi tempoh dua minggu,” ujarnya. 

Tambah Jack lagi, tindakan penguatkuasaan lebih tegas turut dilaksanakan bagi memastikan orang ramai lebih berdisiplin dan patuhi SOP khususnya penjarakan sosial dan sebagainya. 

Pada masa yang sama, beliau menasihati orang ramai agar tidak mementingkan diri sehingga boleh memudaratkan orang lain.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Timbalan Pengarah Hospital Bintulu Dr Sivashunmugam a/l Sangaran, Ketua Polis Daerah Superintenden Zulkipli Suhaili Bintulu, Pengurus (EPH) Mohamed Ansari Mohd Syed Ahmad dan wakil-wakil jabatan. -EDISI UKAS

Share

add comment