Graduan Sarawak Di Luar Negara Digalak Kembali Berkhidmat Untuk Negeri

RABU, 31 MAC 2021

KUCHING :  Kerajaan Negeri menggalakkan lebih ramai graduan yang melanjutkan pengajian mereka di luar negara untuk kembali berkhidmat di negeri ini.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Kerajaan Negeri bagaimanapun tidak menghalang penuntut dari Sarawak melanjutkan pengajian di luar negara kerana ia membantu memperluaskan lagi pengetahuan dan kepakaran mereka.

Semasa berucap di Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Universiti Swinburne Kampus Sarawak, pada Rabu, Ketua Menteri menambah, kepakaran dan kemahiran para graduan Sarawak dari luar negara amat penting dalam menyumbang kepada pembangunan negeri ini.

Ujar Ketua Menteri,  sejak penubuhan Kampus Swinburne di Sarawak pada tahun 2000, ia telah  mengubah landskap pendidikan tinggi disamping membantu mengantarabangsakan Kuching.

Hal ini kerana, lebih daripada 90 peratus pelajarnya memilih untuk kekal di negeri ini setelah menamatkan pengajian dan mengembangkan kerjaya masing-masing dengan menubuhkan perniagaan sendiri.

Oleh yang demikian tambahnya, untuk mendorong lebih ramai pelajar bumiputera belajar di Swinburne Sarawak, pelbagai biasiswa telah diberikan kepada pelajar Parawak, termasuk anugerah Graduan Cemerlang daripada Yayasan Sarawak kepada lulusan tertinggi universiti sebagai penghargaan atas pencapaian mereka.

Hadir dalam majlis tersebut, Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS

Share

add comment