Guna Teknologi Moden Untuk Tingkatkan Hasil Lebih Tinggi Dan Lumayan Dalam Pertanian

RABU, 31 MAC 2021

NIAH: Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha untuk menambah pendapatan rakyat di negeri ini. 

Menteri Utiliti Sarawak Dato Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, ini termasuklah mereka yang tinggal di rumah panjang terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman. 

“Kerajaan Sarawak telah memberi penekanan kepada pembangunan sektor pertanian sebagai langkah ke arah negeri pengeluar makanan utama di Malaysia. 

“Untuk itu, kita seharusnya menggunakan teknologi moden agar dapat mengeluarkan hasil yang lebih tinggi dan lumayan sekaligus meningkatkan pendapatan,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penangguhan AgriCop di Rumah Muyang, Sungai Manong, Niah pada Ahad. 

Dato Sri Dr. Stephen Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena menyeru dan memohon penduduk rumah panjang supaya mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19 di Klinik Kesihatan dan Pejabat Daerah yang berdekatan.

Dalam majlis tersebut beliau turut menyampai bantuan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM30,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Muyang dan RM10,000 Kepada Biro Wanita Rumah Muyang.

Hadir sama Pegawai Pertanian Bahagian Miri Jackson Nantahala Bernabas Baie dan Setiauaha Politik Kepada Ketua Menteri Jenny Bangga. -EDISI UKAS

Share

add comment