Kampung Baji Dikenakan Perintah ‘Lockdown’ 14 Hari

RABU, 31 MAC 2021

SARIKEI: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Sarikei telah mengeluarkan arahan perlaksanaan perintah ‘lockdown’ untuk tempoh 14 hari bermula 30 Mac 2021 sehingga 12 April 2021 bagi kawasan Jalan Baji/Kampung Baji, Sarikei.

Pihak Polis dan Rela telah diarahkan untuk menyekat dan menutup lalu lintas di lokasi melibatkan Jalan Baji, Jalan Haji Karim, Jalan Shariff Mashor, Jalan Century dan Jalan Masjid Baru.

Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memulakan proses pengumpulan nama penduduk untuk disalurkan kepada Pejabat Kebajikan Bahagian Sarikei bagi agihan bantuan makanan.

Sehubungan itu, Menteri Muda Perancangan Bandar Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang telah mengarahkan Pusat Khidmat beliau agar membuat persiapan mengagihkan bantuan kepada petugas barisan hadapan dan penduduk kampung yang terjejas.

Beliau juga menyeru agar penduduk yang terlibat agar kekal tenang dan jangan panik serta bekerjasama mengikut arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa. –EDISI UKAS

Share

add comment