Kampung Senadin Jaya dan Kampung Damai Bakal Terima Bekalan Air Bersih Penghujung Julai Ini

RABU, 31 MAC 2021

MIRI: Kerajaan Sarawak menerusi LAKU Management Sdn. Bhd telah memperuntukan sebanyak RM580,000 untuk melaksanakan kerja- kerja pemasangan air paip ke Kampung Senadin Jaya dan Kampung Damai Jaya Senadin Miri.

Perkara ini dimaklumkan Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin dalam satu majlis yang diadakan di LAKU Management pada Isnin.

Pada 22 September 2020, Datuk Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin telah mencadangkan projek ini bagi memberi kemudahan bekalan air bersih kepada penduduk di kedua-dua kampung tersebut.

Projek penyambungan paip sepanjang 2.52 km, 160 mm HDPE (lebar) ini menelankan kos keseluruhan yang dianggarkan berjumlah RM580,000 dan dijangka akan siap pada penghujung bulan Julai ini.

Apabila siap, ia akan memberi manfaat kepada kira-kira 122 penghuni di kedua-dua kampung tersebut. 

Pada ketika ini, saluran paip yang sedia ada di kedua-dua Kampung Senadin Jaya dan Kampung Damai Jaya Senadin Miri kecil dan tidak disambung secara teratur serta laluan jalan masuk yang kecil.

Hadir sama Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf dan Pegawai-pegawai LAKU Management. -EDISI UKAS

Share

add comment