Kerajaan Fokus Urus Krisis Pandemik COVID-19 Demi Negara & Rakyat

RABU, 31 MAC 2021

KOTA SAMARAHAN: Kerajaan kini giat memfokus untuk menguruskan krisis pandemik COVID-19 dengan sebaiknya demi kebaikan negara dan rakyat.

Menteri Pelancongan, Seni Dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, pelbagai langkah yang telah dan sedang diambil oleh kerajaan adalah untuk mengawal penularan wabak itu serta impaknya terhadap negara dan rakyat sekaligus melandaikan keluk COVID-19.

Tambahnya, semua usaha yang dilaksanakan kerajaan untuk mengekang pandemik COVID-19 adalah untuk mencapai keseimbangan antara kesejahteraan kesihatan dan kesejahteraan ekonomi.

“Langkah drastik pertama yang dilaksanakan oleh kerajaan adalah dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagi memastikan pelaksanaan yang berkesan, operasi pematuhan telah dijalankan berterusan bagi memastikan pematuhan terhadap arahan dan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan di semua tempat, termasuklah di kilang-kilang, pasaraya, kawasan pembinaan dan lain-lain,” katanya  dalam Program Malaysia Prihatin di Dewan Sri Samarahan, Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak, Kota Samarahan pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong menambah, cara paling berkesan untuk melandaikan keluk dan mengurangkan kes jangkitan baru COVID-19 adalah dengan cara drastik iaitu “lockdown” sepenuhnya tetapi, langkah tersebut memberi impak yang sangat buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara.

“Langkah itu memberi impak sangat buruk bukan sahaja kepada ekonomi negara malah ke satu tahap paling ekstrem, ia menentukan sama ada seseorang atau keluarga dapat menghidangkan makanan di atas meja ataupun tidak.

“Mungkin rakyat boleh selamat daripada COVID-19, tetapi kita tidak mahu pula ada yang tidak dapat selamat dari kelaparan,” katanya lagi.

Dato Sri Nancy dalam pada itu memberitahu, bagi mencapai keseimbangan antara kesejahteraan kesihatan dengan kesejahteraan ekonomi, kerajaan telah menyusun “6R” Strategi Pemulihan Ekonomi Negara,

“Kerajaan telah menyusun “6R” Strategi Pemulihan Ekonomi Negara, iaitu Resolve (Ketegasan); Resilient (Ketahanan); Restart (Memulakan semula); Recovery (Pemulihan); Revitalise (Memperkasa); dan Reform (Menyusun semula).

“Dalam setiap fasa 6R ini, Kerajaan telah hadir dengan pelbagai pelan tindakan dan pakej ransangan ekonomi untuk melengkapi strategi yang diatur iaitu pelancaran beberapa pakej ransangan ekonomi seperti Prihatin PKS, PENJANA dan PEMERKASA,” ujarnya lagi.

Hadir sama dalam program tersebut adalah Penasihat Khas Pejabat Ketua Menteri Sarawak merangkap Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato Sri Rohani Abdul Karim, Ahli Parlimen Kota Samarahan, Rubiah Wang dan Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu.-EDISI UKAS

Share

add comment