KMKK Berperanan Penting Bantu Kerajaan Pastikan Semua Rakyat Daftar Diri Menerima Vaksin COVID-19

RABU, 31 MAC 2021

LIMBANG: Ketua-ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) berperanan penting dalam menggalakkan orang ramai mendaftar sebagai penerima vaksin COVID-19.

Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia merangkap Ahli Parlimen Limbang Datuk Hasbi Habibollah berkata, ini bertujuan merealisasikan hasrat kerajaan untuk memastikan semua rakyat di Daerah Limbang mendapat suntikan vaksin COVID-19. 

“Setakat ini, hanya kira-kira 40 peratus sahaja penduduk di Daerah Limbang telah berdaftar sebagai penerima vaksin. 

“Oleh itu, diharapkan masyarakat setempat mempunyai tahap kesedaran yang tinggi terhadap kebaikan program vaksinasi.

“Adalah penting untuk setiap rakyat mendapatkan tahap imuniti yang baik dan memastikan rakyat dapat hidup dalam keadaan yang selamat dan terjamin sekaligus mencegah jangkitan virus COVID-19,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam Program Malaysia Prihatin yang diadakan di Dewan Kampung Tanjong Rima baru-baru ini.

Selain peranan KMKK, orang ramai boleh sama turut mendaftar vaksin COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera dan mengisi borang pendaftaran di Pejabat Daerah dan Klinik Kesihatan yang berdekatan.

Datuk Hasbi yang juga Ahli Parlimen Limbang menambah, Proklamasi Darurat yang diisytiharkan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai agenda tersirat atau berbaur politik. 

Katanya, ia adalah untuk memastikan keselamatan kebajikan serta keselamatan rakyat dijaga dengan baik. 

Pada majlis ini, beliau telah menyerahkan Pelantikan Ketua Masyarakat Bisaya kepada Penghulu Lalam Sambat.

Hadir sama Ketua  Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia Datuk Isham Isyak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau Paulus Palu Gumbang, wakil Residen Bahagian Limbang Cherylynna Leeza Roland, wakil Pegawai Daerah Limbang Mohd Hafiz Kifli, Ketua Imigresen Limbang Kalthom Ahmad, Pegawai Penerangan Limbang  Linda Padan dan KMKKK Daerah Limbang. -EDISI UKAS

Share

add comment