Lapangan Terbang Baharu Mukah Siap April Ini

RABU, 31 MAC 2021

MUKAH: Lapangan Terbang Baharu Mukah yang kini dalam proses pembinaan dijangka siap sepenuhnya pada 11 April 2021.

Terletak kira-kira tujuh kilometer dari pusat bandar, lapangan terbang baru itu hanya sesuai untuk pesawat jenis Twin Otters serta helikopter dan mempunyai lapangan terbang untuk pesawat Short Take-Off And Landing (STOL) untuk kawasan pedalaman.

Lapangan terbang baru itu juga akan memenuhi keperluan yang lebih besar iaitu pesawat ATR sekali gus dapat memenuhi keperluan penduduk serta menyediakan jaringan di sepanjang kawasan pesisir.

Ia mempunyai kemudahan seperti landasan sepanjang 1500 meter dan lebar 30 meter, bangunan terminal berkeluasan sekitar 3500 meter persegi, Stesen Bomba Dan Penyelamat Kategori 5, menara kawalan Jabatan Sivil Penerbangan (DCA), Kuarters (Kelas D, E & F) dan stesen meteorologi.

Taklimat persediaan pembukaan Lapangan Terbang Mukah (Operational Readiness And Airport Transfer Program) akan diadakan pada 1 April 2021 dan operasi sepenuhnya bergantung kepada percubaan pada bulan depan. – EDISI UKAS

Share

add comment