Penyalaian Ikan Tahai Tambah Pendapatan Nelayan Kampung Punang Baru

RABU, 31 MAC 2021

LAWAS: Kampung Punang Baru merupakan salah satu perkampungan nelayan di Daerah Lawas yang terkenal dengan aktiviti menangkap ikan sebagai kegiatan ekonomi utama mereka selain aktiviti pertanian.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, selain aktiviti penangkapan ikan penduduk Kampung Punang turut dijalankan aktiviti sampingan seperti penyalaian ikan tahai untuk menambah pendapatan mereka. 

“Penyalaian ikan tahai ini kebanyakannya dimonopoli oleh wanita untuk menambah pendapatan keluarga. 

“Saya berharap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dapat memberi perhatian dalam memajukan industri ikan tahai ini seperti membantu dalam pemprosesan dan pembungkusan serta pemasaran produk ikan tahai di pasaran yang lebih luas,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam walkabout ke Projek Desa Lestari Kampung Punang Baru, Lawas pada Ahad. 

Dalam program itu, telah diadakan penyerahan simbolik pembinaan 11 buah rumah salai berpusat, pembinaan anjung singgah, pusat jualan, kelengkapan serta peralatannya.

Tambah Datuk Amar Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota, beliau berbesar hati sekiranya KPLB dapat bersama dengan Kerajaan Sarawak dalam membantu menjayakan baik pulih dan bina baru rumah nelayan. 

Sementara itu, Menteri Pembangunan Luar Bandar Malaysia Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata pihaknya akan menyediakan lebih banyak peruntukan pada tahun akan datang bagi membantu nelayan menambah pendapatan. 

“Saya juga akan maklumkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkenaan keperluan dan input di Kampung Punang Baru. 

“Sehingga kini, kita masih tertakluk kepada program kesejahteraan rakyat termasuk baik pulih dan bina baru rumah. 

“Dalam pada itu, kita juga telah membina 11 rumah tahai ini selain membantu dalam pemasaran melalui Majlis Amanah Raya (MARA),” katanya. 

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia merangkap Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Luar Bandar Datuk Che Murad Sayang Ramjan, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment