Terus Patuhi SOP, Elak Diri Daripada Dijangkiti COVID-19

RABU, 31 MAC 2021

LAWAS: Ketika ini negara telah membuka kembali sektor ekonomi biarpun keadaan penularan COVID-19 masih belum reda. 

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, rakyat perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan supaya terhindar daripada jangkitan COVID-19.

“Jika negara dilanda gelombang COVID-19 lagi, negara terpaksa ‘lockdown’. Namun, setakat ini kita dapat tanganinya dengan baik. 

“Semua ini memerlukan kerjasama banyak pihak termasuk barisan hadapan yang komited untuk menjaga keselamatan kita,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Warung Desa@KPLB Program Peningkatan Pendapatan KPLB di Pasar Lawas pada Isnin. 

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menambah, rakyat khususnya mereka yang berada di Daerah Lawas ini perlu mendaftar diri bagi mendapatkan vaksin COVID-19.

“Sekarang, kita melaksanakan program vaksin terutama yang berumur 18 tahun ke atas. 

“Sesiapa yang belum memdaftar, daftarlah untuk kebaikan kita. Ianya percuma. Kerajaan yang menanggung semuanya. 

“Saya sudah disuntik sebanyak dua kali. Banyak khabar angin yang mengatakan tidak baik namun saya sendiri sudah menerima dua suntikan dan tidak sakit pun. Seperti digigit semut sahaja,” tambahnya.

Pada majlis itu, telah diadakan penyerahan bantuan kepada beberapa penerima bantuan peralatan perniagaan, 5 orang penerima warung desa daripada Giat MARA, 3 orang penerima peralatan KEMAS dan 9 orang penerima peralatan daripada RISDA.

Hadir sama Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, Pengarah Risda Sarawak Shaharuddin Saberi, Residen Bahagian Limbang Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pegawai Daerah Lawas Ladin Atok, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK). -EDISI UKAS

Share

add comment