KHAMIS, 1 APRIL 2021
SIBURAN: Seramai 21 orang terdiri daripada kanak-kanak, warga emas serta pesakit terlantar di Kampung Batu Gong Lama, Siburan menerima bantuan susu tepung dan lampin pakai buang.
Sumbangan daripada Menteri Muda Pengangkutan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr.Jerip Susil itu telah disampaikan oleh Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Siburan, Ranum Bari kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di situ pada Rabu.
Menurut Ranum, bantuan kali ini lebih berfokus kepada keperluan penduduk yang yang lebih kritikal dan memerlukan.
Katanya, sebelum ini, bantuan makanan asas telah diagihkan kepada kesemua penduduk yang terkesan pada minggu pertama perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kampung tersebut oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Bahagian Serian dan bantuan makanan tambahan akan dihulurkan dalam masa terdekat.
Hadir sama dalam sesi penyerahan bantuan itu, Pegawai Tadbir Khas Menteri Muda Pengangkutan Sarawak, Robert Keron Mapus dan Setiausaha Sulit kepada Menteri Muda Pengangkutan Sarawak Terence Tikok. – EDISI UKAS