30 Belia Terpilih Mentor Program Pengasas Muda TEGAS

KHAMIS, 1 APRIL 2021

KUCHING: Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) Hub Inovasi Digital telah melancarkan Youth Founder Mentoring Programme (YFMP) selaras dengan misi Kerajaan Sarawak untuk mempromosikan inovasi digital dan keusahawanan di negeri ini.

Seramai 30 peserta daripada seluruh Sarawak telah dipilih untuk program tersebut yang diadakan melalui platform talian FutureLab bermula Mac hingga Ogos 2021.

Peserta terdiri daripada pelajar dan graduan Swinburne University Sarawak, Curtin University Malaysia, Centre of Technical Excellence (Centexs), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), University Tunku Abdul Rahman (Utar), Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), International Institute of Fashion Design (Indonesia) dan Campbell University (USA).

Program yang dianjurkan oleh Tegas Hub Inovasi Digital dengan kolaborasi FutureLab adalah program bimbingan selama enam bulan khususnya untuk pengasas muda Sarawak yang berpotensi, pelajar dan graduan.

Calon yang terpilih akan mempelajari kemahiran teknikal dan kemahiran insaniah daripada program tersebut untuk menjadi seorang pengasas.

Para peserta juga digalakkan untuk mengunakan ilmu keusahawan sepanjang program tersebut bagi mendalami kemahiran dan pandangan dalam keusahawan.

Mereka akan dihubungkan dengan pengasas syarikat ‘startup’ muda dan pemilik perniagaan yang berpengalaman dari Malaysia, Indonesia serta Singapura yang bertindak sebagai mentor sepanjang program ini.

Dalam program tersebut, para peserta atau pengasas muda ini akan bersedia untuk menghadapi Virtual Demo Day yang merangkumi sesi pitching bagi menarik perhatian pelabur, agensi pembiayaan dan rakan ekosistem yang berpotensi termasuk laluan untuk mereka menyertai program TEGAS Startup Lab (Accelerator), Social Impact Accelerator dan Sarawak Shell Livewire.

“Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada institusi pengajian tinggi dalam mempromosikan program bimbingan yang julung kalinya di Sarawak ini dan dianjurkan di institusi masing-masing dengan menggalakkan pelajar dan alumni untuk menyertainya,” kata Pengerusi TEGAS, Datu Len Talif Salleh merangkap Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak.

Beliau juga yakin pelaburan dalam memperkasakan kemahiran anak Sarawak dapat meningkatkan pembangunan negeri ini.

“TEGAS akan sentiasa memberikan bantuan dan sokongan kepada usahawan tempatan untuk berkembang secara global melalui Tegas Digital Village yang bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak pertengahan tahun ini,” tambah beliau. –EDISI UKAS

Share

add comment