93,595 Penduduk Bahagian Bintulu Telah Mendaftar Dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan

KHAMIS, 1 APRIL 2021

BINTULU: Sebanyak 47.8 peratus atau 93,595 penduduk daripada 195,700 penduduk Bahagian Bintulu telah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menerusi aplikasi MySejahtera dan pendaftaran manual di Pejabat Daerah dan Klinik Kesihatan.

Perkara ini disahkan Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat dalam sidang media Perkembangan Terkini dan Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) Baharu Menangani COVID-19 di Bintulu yang diadakan di Pejabat Residen Bahagian Bintulu pada Rabu.

“Sehingga 30 Mac, sebanyak 51,812 penduduk telah mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera bagi Daerah Bintulu, 2,274 (Daerah Tatau) dan 1,546 (Daerah Sebauh).

“Pendaftaran secara manual menerusi borang ‘Google Form’ yang terdapat di Pejabat Daerah, masing-masing 16,911 bagi Daerah Bintulu, 7,227 (Daerah Tatau) dan 6,228 penduduk telah mendaftar diri untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 bagi Daerah Sebauh. 

“Manakala, pendaftaran secara manual di Klinik Kesihatan pula agak perlahan dengan hanya 1,909 permohanan bagi Daerah Bintulu, 5,073 (Daerah Tatau) manakala  555 penduduk telah mendaftar bagi Daerah Sebauh,” katanya. 

Jack Aman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu berharap Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dapat membantu masyarakat terutama warga emas yang berdepan masalah untuk membuat pendaftaran.

Pendaftaran untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan masih lagi dijalankan dengan penduduk digalakkan untuk mendaftar melalui salah satu kaedah samada menerusi aplikasi MySejahtera atau secara manual di Pejabat Daerah atau Klinik Kesihatan berdekatan.

Hadir sama Pegawai Kesihatan Bahagian Dr. Melvin Chung Hsien Liang, Timbalan Pengarah Hospital Bintulu, Dr Sivashunmugam Sangaran, Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili, Pengurus (EPH) Mohamed Ansari Mohd Syed Ahmad dan wakil-wakil Jabatan. -EDISI UKAS

Share

add comment