Bandar Baru Matu Penggerak Ekonomi Masyarakat Setempat

KHAMIS, 1 APRIL 2021

MATU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Bandar Baru Matu akan menjadi penggerak kepada ekonomi penduduk setempat.

Sehubungan itu, beliau telah meminta agar reka bentuk bandar baru itu diubah bagi memastikan ianya dapat memberi manfaat kepada masyarakat di situ.

“Tak guna nak buat bangunan yang canggih-canggih, multi storey, tapi keupayaan masyarakat tidak sampai ke sana. Lama kelamaan, matlamat untuk bantu masyarakat setempat tidak akan kesampaian.

“Sebab itu kita ubah dari segi reka bentuknya. Apa yang penting kemudahan ini ada dan ianya dapat menjadi satu penggerak untuk masyarakat kita menjalankan perniagaan,” katanya semasa melawat Projek Pembangunan Bandar Baru Matu pada Rabu.

Menurutnya, pembangunan di kawasan pesisir sentiasa menjadi agenda utama kerajaan negeri sejak di bawah pentadbiran Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Malah tambahnya, kawasan pesisir kini rancak menerima pelbagai pembangunan infrastruktur seperti bekalan elektrik, air dan telekomunikasi.

Dalam pada itu, ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya memberitahu bandar baru itu akan merancakkan ekonomi penduduk di Matu apabila ia siap kelak.

Katanya, penduduk setempat tidak lagi perlu bergerak jauh samada ke Daro atau Mukah untuk berurusan apabila pusat komersial itu siap kelak. – EDISI UKAS

Share

add comment