KHAMIS, 1 APRIL 2021
MIRI: Sebagai satu organisasi penyiaran yang profesional dan matang, Radio Televisyen Malaysia (RTM) sentiasa mempamerkan keputusan yang berasaskan pengalaman yang ditimba selain patuh kepada undang-undang, peraturan dan prosedur yang sedia ada.
“Penyampaian dalam pelbagai bahasa tempatan Sarawak seperti Melayu, Cina, Iban, Kayan dan Kenyah di bahagian Miri telah memberi peluang kepada pendengar untuk menerima dan menikmati perkhidmaran saluran radio MiriFM,” kata Pemangku Residen Bahagian Miri Abdul Aziz Mohd Yusuf yang mewakili Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Lee Kim Shin sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari RTM Ke 75, Jabatan Penyiaran Malaysia Miri pada Khamis.
Ujarnya lagi, peralihan zaman dan teknologi telah memberi impak yang besar kepada RTM terutamanya perkembangan pesat media sosial.
“Apa juga teknologi baharu yang diperkenalkan, yakin bahawa MiriFM akan membuat perancangan dan pertimbangan rapi untuk mempelajari teknologi tersebut dan mengambil langkah positif untuk menyedia dan menawarkan perkhidmatan tersebut kepada orang ramai,” ujarnya.
Dengan usia RTM yang telah mencapai 75 tahun, MiriFM masih dan kekal releven kepada penduduk di Miri.
Pada majlis itu, Datuk Lee telah memberikan sumbangan sebanyak RM5,000 Kelab RTM Miri, bagi membeli peralatan untuk gimnasium untuk keperluan warga kerja RTM Miri. -EDISI UKAS