Kerajaan Negeri Akan Teruskan Skim Penempatan Semula Dan Skim Pembesaran Kampung

KHAMIS, 1 APRIL 2021

MATU: Kerajaan Negeri akan meneruskan Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung sebagai usaha membantu menyediakan lot-lot kepada penduduk yang tidak mempunyai tanah dan berpendapatan sederhana.

Menurut Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, pelaksanaan skim penempatan semula dan skim pembesaran kampung dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar Dan Sumber Asli II bagaimanapun menjelaskan kerajaan tidak dapat memenuhi permintaan skim secara serentak kerana ia melibatkan kos yang besar.

“Insyaallah, Skim Penempatan Semula dan Skim Pembesaran Kampung ini akan kita laksanakan secara berterusan. Kita tidak boleh memenuhi semua permintaan dalam masa yang sama. Jadi kita rancang dan semua ini dibiayai oleh Kerajaan Negeri.

“Untuk melaksanakannya ia melibatkan kos yang besar. Seperti yang saya katakan tadi, secara purata untuk satu lot sahaja dianggarkan dalam RM100,000,” katanya ketika ditemuramah semasa Majlis Penyampaian Cek Pampasan Bagi Pengambilan Balik Tanah dan Penyampaian Surat Kelulusan Skim Pembesaran Kampung DUN Jemoreng bertempat di Dewan Suarah Matu pada Rabu.

Menjelas lanjut, beliau berkata Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah mengubah spesifikasi skim dan mahu ia dilengkapi dengan pelbagai infrastruktur asas.

“Jadi untuk Skim Penempatan Semula termasuk Skim Pembesaran Kampung hendaklah jalan-jalannya ditar, parit dikonkrit dan dan kawasan itu ditembok. Ia termasuk penyediakan bekalan elektrik, air dan sebagainya,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, ADUN Jemoreng, Dato’ Murshid DiRaja Dr Juanda Jaya dalam ucapannya memohon agar pihak kerajaan negeri dapat mempermudahkan polisi pemilikan Skim Pembesaran Kampung di kawasan Jemoreng kerana kampung tradisi semakin hari tidak dapat menampung jumlah penduduk.

Beliau turut memohon penambahan Projek Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) bagi menambah rumah penempatan penduduk.

Datuk Amar Awang Tengah seterusnya menyampaikan cek pampasan tanah untuk Projek Jalan Sungai Passin/Matu, Mukah (RM300,000), Projek Jambatan Batang Igan, Kuala Igan, Mukah (RM1.3 juta) dan Projek Jalan Sungai Bidut/Kampung Tutus/Kampung Sebedil /Kampung Bungan Kecil, Mukah: Pakej A & B (RM1,256,000).

Beliau turut menyampaikan cek pampasan bagi pengambilan balik tanah untuk Projek Pembinaan Jalan Sungai Passin/Matu, Mukah (RM303,350), Jambatan Batang Igan, Kuala Igan, Mukah (RM1,350,588.45), Jalan Sg. Bidut/Kampung Tutus / Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil, Mukah, Package A (RM56,195.18) dan Jalan Sg. Bidut/Kampung Tutus/Kampung Sebedil/Kampung Bungan Kecil, Mukah, Package B (RM1,267,599.50).

Turut disampaikan Surat Kelulusan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Bagi SPK Jemoreng Fasa 1, SPK Tian, Matu dan SPK Igan, Matu.

Hadir sama pada program tersebut Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap ADUN Kuala Rajang, Datu Len Talif Salleh; ADUN Daro, Safiee Ahmad; Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir Yusuf Abd Wahab dan Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir. – EDISI UKAS

Share

add comment