Kerajaan Persekutuan Teliti Perkara Berkaitan Hak-Hak Sarawak Menerusi Majlis Khas MA63

KHAMIS, 1 APRIL 2021

KUCHING: Selain menubuhkan portfolio khusus bagi Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di peringkat Persekutuan, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga telah menubuhkan Majlis Khas Mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA 63) bagi memastikan hak-hak adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di Sarawak dapat dipelihara dan dipertahankan sewajarnya.

Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, melalui Majlis Khas MA63 atau MKMA63, Kerajaan Persekutuan sedang meneliti perkara-perkara yang berkaitan dengan hak-hak Sarawak.

“Kerajaan telah menubuhkan Majlis Khas Malaysia Aggreement 1963 (MKMA63) mengenai Perjanjian Malaysia 1963. Ini merupakan suatu perkara yang paling pokok. 

“MA63 yang merupakan inisiatif kerajaan negeri atau Persekutuan untuk memastikan hak-hak yang adil dan saksama bagi rakyat Malaysia di negeri Sarawak khususnya dapat dipelihara malahan terus dipertahankan,” katanya dalam Townhall Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis. 

Sehingga kini, beberapa kemajuan yang telah pun dicapai melalui peranan tiga Jawatankuasa Kerja yang mengesyorkan kepada MKMA63 berhubung cadangan penyelesaian mengenai isu-isu spesifik berkaitan perundangan bagi rakan sekutu, keselamatan negeri dan sosio ekonomi. 

Ini dilakukan selaras dengan hak-hak negeri Sabah dan Sarawak dalam kerangka perundangan dan perlembagaan negara.

Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin lagi, semua tuntutan yang dipohon akan dinilai secara adil dan diteliti secara terperinci. 

“Saya ingin menyatakan di sini bahawa Kerajaan Persekutuan menilai semua tuntutan secara adil dengan duduk dan bincang bersama. 

“Adanya wakil daripada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak yang duduk sama berbincang dengan teliti,” jelasnya. 

Townhall Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 diadakan bersempena dengan lawatan kerja dua hari Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Sarawak. 

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS

Share
0