KHAMIS, 1 APRIL 2021
KUCHING: Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat menghargai sumbangan, pengorbanan dan komitmen kakitangan awam negeri dan Persekutuan dalam melaksanakan tugas
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, mereka telah memberikan banyak sumbangan dalam melaksanakan pembangunan sosioekonomi di negeri ini.
“Penjawat awam persekutuan dan negeri mereka bekerjasama sebagai sebuah pasukan dan saya bagi pihak kerajaan negeri sudah tentu mengucapkan terima kasih kerana banyak sumbangan yang telah diberikan oleh penjawat awam persekutuan dalam kita melaksanakan pembangunan sosioekonomi di negeri kita.
“Sebab itu saya nampak kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan dari sudut penjawat awam mereka berusaha keras untuk mengubah Malaysia dan juga Sarawak,” katanya semasa berucap dalam Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam di Kuching pada Khamis.
Hadir sama, barisan Menteri Kabinet Sarawak dan beberapa Menteri Persekutuan serta tetamu kehormat yang lain.
Dalam pada itu, Datuk Patinggi Abang Zohari berkata, penjawat awam negeri dan penjawat awam persekutuan memainkan peranan penting membantu dalam merealisasikan visi Sarawak untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030.
“Visi untuk menjadi negeri maju menjelang tahun 2030 sebenarnya sukar tapi saya percaya dengan kerjasama antara penjawat awam Sarawak dan penjawat awam Persekutuan, kita boleh mencapai visi tersebut dengan sumber yang kita miliki,” ujarnya lagi.
Terdahulu, Ketua Menteri bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadiri Taklimat Hala Tuju Kerajaan Negeri Sarawak yang dibentangkan oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS