Kerajaan Sarawak Sokong Perkembangan Industri Kreatif Tempatan, Lahir Lebih Ramai Artis Berbakat

KHAMIS, 1 APRIL 2021

LIMBANG: LimbangFM tetap unggul biarpun kini menyambut ulang tahun ke 50 tahun. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, berkata bersempena sambutan ulang tahun ke 50 tahun, penganjuran Juara Carta Bakat Radio telah memberi ruang kepada penduduk Limbang menampilkan bakat dalam bidang nyanyian. 

“Penganjuran Juara Carta Bakat Radio akan memberi kesempatan dan peluang untuk orang-orang kita di Bahagian Limbang ini khususnya menampilkan bakat-bakat seni. Sememangnya di Bahagian Limbang ini kita mempunyai ramai yang berbakat besar, daripada golongan tua, golongan pertengahan, golongan muda, macam-macam yang mereka boleh buat.

“Ramai juga daripada Limbang ini yang mewakili negeri Sarawak dalam pertandingan Bintang RTM, misalnya saudara Ibrahim Doming dan Halim Mohamad.

“Ini merupakan orang-orang kita yang mewakili Sarawak di pertandingan RTM,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Pertandingan Akhir Juara Carta Bakat Radio LimbangFM 2021 di Hotel Purnama Limbang pada Isnin. 

Seramai 7 orang peserta telah berentap dalam Pertandingan Akhir Juara Carta Bakat Radio LimbangFm 2021 dengan Alda Susanti Abdullah telah dinobatkan sebagai juara, tempat kedua Syahrizal Hidup dan tempat ketiga Siti Norsiah Matnor. 

Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli II, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Terminal Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Sarawak menambah Kerajaan Sarawak menyokong perkembangan industri kreatif dan inilah industri yang mempunyai potensi yang luas untuk berkembang apatah lagi pada zaman teknologi yang canggih dan digital yang berkembang dengan begitu pesat ini.

Pada majlis itu, beliau telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM15,000 untuk RTM Limbang.

Hadir sama Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang, Residen Bahagian Limbang Ir. Ahmad Denney Ahmad Fauzi dan Pengarah Penyiaran Sarawak Abdull Hadi Mohd Yusoff. -EDISI UKAS

Share

add comment