Kursus Pensijilan Dapat Tingkatkan Taraf Ekonomi Penduduk

KHAMIS, 1 APRIL 2021

KUCHING: Seramai 20 orang penduduk yang terdiri daripada kaum bapa dari Kampung Tabuan Hilir tidak melepaskan peluang untuk terllibat sama dalam Kursus Pensijilan Pembuatan Aneka Roti. 

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, mereka ini telah berjaya membuktikan bahawa usia dan jantina bukan penghalang untuk menceburi bidang pembuatan roti dan usahawan. 

“Jika sebelum ini, kursus atau aktiviti pembuatan roti sinonim dengan kaum wanita dan belia. 

“Pada hari ini, kita dapat saksikan ianya turut disertai kaum bapa dan berjaya membuktikan usia dan jantina tidak menghalang untuk mereka mendapat ilmu dalam pembuatan roti. 

“Lebih menguntungkan lagi apabila kursus yang disertai itu mempunyai sijil dan boleh digunakan untuk langkah seterusnya menjadi usahawan dan mendapatkan bantuan daripada jabatan dan agensi kerajaan,” katanya ketika mengulas mengenai Kursus Pensijilan Aneka Roti yanng diadakan di Kolej Komuniti Santubong pada Ahad. 

Ujar Dr Hazland lagi, kursus pensijilan ini merupakan aktiviti mingguan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut sebaik sahaja aktiviti pembelajaran dibenarkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan. 

“Sebanyak 28 buah kampung yang terdiri daripada wanita, belia dan kaum bapa mengikut kursus pensijilan dalam pelbagai bidang di Kolej Komuniti Santubong.

“Program ini merupakan anjuran Pusat Khidmat DUN N.5 Demak Laut adalah bertujuan melahirkan ramai usahawan dan memahirkan masyarakat di DUN Demak Laut dengan kemahiran masakan dan pembuatan kuih. 

“Peserta boleh mengaplikasi kemahiran ini untuk menjana pendapatan sampingan atau terlibat secara langsung dalam usahawan dalam bidang pembuatan,” tambahnya. 

Bersesuaian dengan suasana PKPB ini, peserta boleh menjadikan bidang pembuatan ini sebagai aktiviti ekonomi secara atas talian yang semakin mendapat tempat dalam menjana pendapatan. -EDISI UKAS

Share

add comment