Lebih 70,000 Telah Mendaftar Mendapatkan Vaksin COVID-19 Di Bahagian Mukah

KHAMIS, 1 APRIL 2021

MUKAH: Lebih 70,000 orang ramai telah mendaftar bagi mendapatkan vaksin COVID-19 di bahagian Mukah pada Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 yang dijangka bermula pertengahan April ini.

Menurut Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir daripada jumlah tersebut, lebih kurang 12,000 penerima adalah dari Daerah Daro dan berharap orang ramai tidak perlu ragu-ragu menerima vaksin tersebut.

“Kita menyeru masyarakat di Daro yang telah pun mendaftar tidak perlu ragu-ragu menerima suntikan vaksin COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa tinjauan Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF) Bahagian Mukah ke persiapan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Masyarakat Daro pada Rabu.

Hamdiah juga yakin CITF peringkat daerah telah melakukan persiapan dengan sebaiknya bagi melancarkan program imunisasi kebangsaan terutamanya dari segi jumlah tenaga kerjanya.

Sementara itu, Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah, Dr Huzaimah Hussien merangkap pengerusi bersama CITF Bahagian Mukah berkata, pihak mereka telah bersedia untuk melancarkan program tersebut dengan lima buah PPV di bahagian Mukah.

“Pihak kami di bahagian kesihatan bersama CITF bahagian dan daerah akan memastikan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 berjalan dengan lancar.

“Di bahagian Mukah kita telah mempunyai lima buah Pusat Pemberian Vaksin dan berharap penduduk memberikan kerjasama kepada program ini,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment