Masjid An-Nur Sibu Tampil Bantu Mangsa Kebakaran Jalan Tiong Hua

KHAMIS, 1 APRIL 2021

SIBU: Mangsa kebakaran di Jalan Tiong Hua, Sibu terus dibantu dengan giliran Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu tampil menghulurkan sumbangan wang tunai.

Penyerahan sumbangan disempurnakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu, Mahmud Ahad yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Masjid An-Nur Sibu, Latip Coupon pada Rabu.

Turut hadir semasa penyerahan sumbangan ialah Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak merangkap ADUN Nangka, Dr Annuar Rapa’ee dan Pegawai Daerah Sibu, Suhaili Mohammed.

Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1.45 pagi pada Isnin, rumah sewa teres dua tingkat terletak di Jalan Tiong Hua 9 ranap sepenuhnya dalam kebakaran.

Ia telah mengorbankan seorang lelaki berusia 40an manakala 10 keluarga tinggal sehelai sepinggang.

Jumlah mangsa yang asalnya seramai 44 orang meningkat kepada 45 orang selepas seorang lagi penyewa iaitu ibu kepada mangsa kebakaran mendaftarkan dirinya kepada pihak Jabatan Kebajikan Sibu. – EDISI UKAS

Share

add comment