Pemerkasaan Sektor Perkhidmatan Awam, Kurangkan Kekangan Birokasi Bantu Rakyat Hadapi COVID-19

KHAMIS, 1 APRIL 2021

KUCHING: Pemerkasaan sektor perkhidmatan awam merupakan antara agenda penting yang sering ditekankan dalam kerajaan bagi mempercepatkan bantuan kepada rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan memberi fokus utama bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan mesra rakyat dengan mengurangkan kekangan birokrasi sekaligus membantu segenap lapisan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.

Menurut beliau, langkah ini penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar yang terkesan.

“Kita biasa berbicara mengenai proses meluluskan permohonan-permohonan yang mengambil masa yang agak lama, ini perlu kerana kita harus teliti, tetapi jika ia kekal begitu dalam keadaan yang sukar ia akan menimbulkan masalah besar.

“Jadi, kita perlu mempercepatkan proses perubahan ini baik dari segi prosedur, cara dan sebagainya supaya urusan-urusan pentadbiran penting dapat dilaksanakan dalam tempoh seberapa segera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat dalam Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan di Kuching pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri-menteri Kabinet Sarawak, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion.

Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan Persekutuan akan terus memberikan sokongan penuh kepada Sarawak dalam membantu Sarawak mencapai status negeri maju menjelang 2030.

Jelas beliau, hala tuju pembangunan Sarawak bagi tempoh sehingga 2030 adalah selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 kerajaan Persekutuan.

“Jadi sebab itu saya hendak menyatakan komitmen kerajaan Persekutuan untuk sama-sama, orang kata seiring sejalan, sebahu, sehati, sejiwa untuk bersama-sama bekerja untuk menentukan aspirasi nasional bersama aspirasi negeri tercapai dalam tempoh yang sama iaitu 2030,” jelasnya. -EDISI UKAS

Share

add comment