Penantian 32 Tahun Penduduk Belaga Mendapat Balai Bomba Berakhir

KHAMIS, 1 APRIL 2021

BELAGA: Impian penduduk Belaga untuk mendapat sebuah balai bomba akhirnya tercapai selepas penantian 32 tahun.

Majlis penyerahan projek Balai Bomba dan Penyelamat Belaga disempurnakan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang diwakili Ateh Charles kepada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Negeri Sarawak, Khirudin Drahman pada Khamis.

Sementara itu, Pegawai Daerah Belaga, Juan Ubit pada majlis tersebut berkata, penduduk di Belaga telah lama menanti perkhidmatan sebuah balai bomba di kawasan mereka.

Malah kedua-dua wakil rakyat mereka, Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Wilson Ugak Kumbong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Datuk Liwan Lagang mahu balai tersebut beroperasi dengan segera.

Dalam pada itu, Juan turut menjelaskan bahawa 90 peratus kes kebakaran yang berlaku di Belaga adalah di kawasan Sungai Asap.

Ujarnya, penduduk di Sungai Asap memohon supaya pembinaan atau pelaksanaan Balai Bomba dan Penyelamat di penempatan mereka disegerakan.

Tambahnya juga, sistem pendawaian rumah penduduk Sungai Asap telah uzur dan tidak pernah diselenggara sejak mereka berpindah pada tahun 1998.

Keadaan ini katanya sudah pasti mendatangkan risiko kepada penduduk.

Pada majlis tersebut, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Ketua Masyarakat turut menerima sumbangan alat pemadam api untuk Program Fire Point. -EDISI UKAS

Share

add comment