KHAMIS, 1 APRIL 2021
KUCHING: Mereka yang sudah menerima dua suntikan vaksin COVID-19 dan mempunyai sijil boleh melakukan rentas negeri, bahagian dan daerah di dalam negara.
Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, menurut satu kajian terkini mereka yang telah mendapat dua suntikan vaksin COVID-19 akan mendapat perlindungan langsung daripada jangkitan wabak pandemik COVID-19.
“Saya telah bincangkan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkenaan dengan vaksin dan COVID-19 ini.
“Kita hendak memutuskan siapa yang sudah mendapat dua suntikan, mereka boleh pergi rentas negeri, rentas daerah atau rentas bahagian dengan tidak boleh dihalang oleh pihak berkuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan seorang peserta Sally Shahriza Ahmad dalam Townhall Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diadakan di Pusat Konvokesyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Jelasnya lagi, ini adalah satu kemudahan yang boleh dapati sekiranya sudah mendapat dua suntikan vaksin COVID-19.
Jelas Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin lagi, perkara ini boleh dibincangkan di peringkat antarabangsa dengan beberapa buah negara bagi membolehkan warga Malaysia yang sudah mengambil dua suntikan vaksin COVID-19 dan ada sijil vaksin COVID-19 boleh pergi ke luar negara.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS