Peruntukan RM4.5 Bilion Dengan 781 Projek Pembangunan Telah Diluluskan Untuk Sarawak Dalam RMKe-12

KHAMIS, 1 APRIL 2021

KUCHING: Dalam tempoh setahun ini, Kerajaan Persekutuan komited dalam memacu pembangunan sosioekonomi di setiap negeri termasuk Sarawak.

Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ini dapat disaksikan menerusi penyaluran peruntukan besar dalam projek pembangunan menerusi Rancangan Malaysia Ke 12 (RMKe-12).

“Bagi Rolling Plan Pertama (RP1)2021 RMKe-12, sebanyak 781 projek pembangunan telah diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM4.5 bilion khususnya untuk Sarawak bagi pelaksanaan projek-projek di bawah pelbagai kementerian dan agensi,” katanya semasa berucap dalam Townhall Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diadakan di Pusat Konvokesyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Antara projek pembangunan utama yang sedang dilaksanakan di Sarawak ialah seperti projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak, projek menaik taraf Lapangan Terbang Mukah dan projek Pembangunan Hab Halal Tanjung Manis Fasa 1A. 

Selain itu, projek sosial seperti Program Rumah Mesra Rakyat (RMR) Sarawak dan Pembinaan Hospital di Petra Jaya, Sri Aman serta Lawas juga giat dijalankan demi untuk meningkatkan aktiviti ekonomi dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat di Sarawak.

Pada masa sama, ujar Perdana Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Muhyiddin lagi, Kerajaan Persekutuan turut memandang serius terhadap usaha untuk membasmi kemiskinan demi memastikan pembangunan yang inklusif di Sarawak dengan mewujudkan Program Khas Bumiputera Sarawak yang merangkumi kluster Native Customary dan Pembangunan Ekonomi Baharu sedang dilaksanakan di bawah RP1 2021. 

Program ini bertujuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi golongan Bumiputera Sarawak.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS

Share

add comment