KHAMIS, 1 APRIL 2021
KUCHING: Kerajaan Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk memberikan yang adil dan jaminan hak Sarawak akan terus dilindungi berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, permintaan Kerajaan Sarawak supaya Artikel 160 dipinda ianya boleh dilaksanakan, tetapi memerlukan sokongan majoriti daripada Ahli Parlimen.
Katanya lagi, perkara ini telah pun dibincangkan dengan menteri bertanggungjawab dan mengakui keperluannya.
“Kalau ia memerlukan pindaan Perlembagaan, Kerajaan Perikatan Nasional tidak dapat berbuat demikian sekiranya tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen.
“Tetapi, selepas pilihan raya dan kita menang besar lebih dua pertiga, ini laluan mudah untuk kita lakukan seberapa segeranya,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Townhall Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang diadakan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam ucapan pendahuluannya mencadangkan Artikel 160/2 Perlembagaan Persekutuan hendaklah dipinda memandangkan tafsiran “Persekutuan” masih merujuk kepada Persekutuan yang ditubuhkan di bawah Perjanjian Persekutan Tanah Melayu 1957.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Dr Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Seri Fadillah Yusof, Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion. -EDISI UKAS