12 April 2021 Tarikh Lihat Anak Bulan Ramadan

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KUCHING: Tarikh melihat anak bulan Ramadan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada 12 April 2021 bersamaan 29 Syaaban 1442 Hijrah.

Menurut Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja dalam kenyataan pada Jumaat, menyatakan tempat melihat anak bulan Ramadan dilakukan di 29 lokasi seluruh negara. 

Di Sarawak, tiga buah tempat akan digunakan untuk melihat anak bulan Ramada iaitu Teluk Bandung di Kuching, Tanjung Batu di Bintulu dan Esplanade Luak di Miri. 

Tempat lain ialah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara (Melaka); Kompleks Baitul Hilal Telok Kemang, Port Dickson (Negeri Sembilan); Bukit Melawati, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting, Kuala Langat dan Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam di Selangor.

Selain itu, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); manakala di Kedah di Kampung Pulau Sayak di Kuala Muda, Pemandangan Indah di Pulau Langkawi serta Menara Alor Setar. 

Bagi Terengganu pula ialah di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut) dan Balai Cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu), manakala di Kelantan melibatkan Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling, Mukim Manjur, Daerah Olak Jeram (Kuala Krai) dan Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak di Kota Bharu.

Di Sabah, iaitu Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan; serta tiga di Pahang merangkumi Bukit Tanjung Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands) dan Bukit Pelindung, Kuantan. 

Sementara, di Wilayah Persekutuan ialah tingkat 13 di Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur serta Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, manakala bagi Perlis pula ialah di Menara Pandang Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis.

Menurut kenyataan itu lagi, Majlis Raja-Raja telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

“Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh Permulaan Puasa yang ditetapkan melalui Radio dan Televisyen,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment