Bekalan Vaksin COVID-19 Mencukupi Untuk Semua Rakyat

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KUCHING: Bekalan vaksin COVID-19 adalah mencukupi untuk semua rakyat di negara ini yang layak untuk menerima suntikan tersebut.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pihak kerajaan telah memesan bekalan vaksin hampir 150 peratus dari jumlah penduduk negara ini bagi menyegerakan proses vaksinasi yang sedang dilaksanakan ketika ini.

“Sebab itu saya sudah awal lagi mengarahkan menteri-menteri yang bertanggungjawab untuk berunding segera tahun lalu dan membeli dengan harga yang sesuai.

“Ini telah kita atasi dan jumlah bekalan yang akan kita dapat ini adalah hampir 150 peratus dari penduduk Malaysia.

“Ini satu keadaan yang saya kira dapat membantu kita menyegerakan proses vaksinasi di seluruh negara,” katanya dalam sidang media semasa mengadakan lawatan ke Hospital Umum Sarawak pada Jumaat.

Beliau dalam pada itu menyambut baik dan tidak menghalang hasrat Kerajaan Sarawak untuk membeli vaksin sendiri kerana ia memudahkan usaha kerajaan pusat untuk menguruskan wabak berkenaan.

Mengulas mengenai hasrat kerajaan negeri untuk menambah jumlah vaksin, beliau berkata perkara itu perlu diperincikan terlebih dahulu kerana masih negeri-negeri lain yang belum menerima bekalan vaksin.

“Saya faham memang ini satu keperluan kerana daripada fakta dinyatakan oleh Ketua Menteri, Dr Sim, Datuk Amar Douglas memang ada asasnya.

“Satu untuk menyegerakan kumpulan-kumpulan terkesan di kawasan-kawasan merah. Maknanya di Sarawak ini kita mahu supaya kawasan merah, menjadi kuning dan hijau semula disegerakan.

“Itu pada dasarnya di peringkat COVID kebangsaan memang kita sudah setuju. Cumanya kita kena melihat dengan lebih terperinci kerana negeri-negeri lain juga memerlukan bekalan,” katanya.

Menurut Tan Sri Muhyiddin, fokus utama kerajaan pusat ketika adalah untuk mencari jalan untuk menurunkan kes-kes COVID di seluruh negara.

Dalam pada itu, Perdana Menteri memberitahu Kerajaan Pusat akan memberikan fokus terhadap pembangunan projek-projek infrastruktur di Sarawak seperti Pan Borneo termasuk jaringan internet di Sarawak dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Terdahulu, Perdana Menteri dibawa meninjau Blok Pusat Rawatan Harian Hospital Umum Sarawak yang sedang dalam proses naik taraf dan dijangka siap sepenuhnya pada Jun 2021.

Hadir sama pada lawatan tersebut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Kanan Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Profesor Dr Sim Kui Hian. – EDISI UKAS

Share

add comment