Elak Amalan Berpuak-puak, Kekalkan Keharmonian Bersama

JUMAAT, 2 APRIL 2021

PADAWAN: Pemahaman politik yang berbeza hingga mewujudkan amalan berpuak-puak perlu perlu dielakkan demi keharmonian bersama.

Menteri Muda Pengangkutan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong Datuk Dr Jerip Susil berkata, masalah itu juga timbul dari perbezaan pendapat termasuk agama dan sebagainya.

Namun katanya, pendekatan menubuhkan pelbagai persatuan dilihat memberi impak positif dalam usaha membendung masalah itu.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Penyerahan Sijil Lantikan dan Pelanjutan Perkhidmatan Ketua Masyarakat dan Ketua Kampung (KMKK) Daerah Kecil Padawan kepada 42 orang penerima di Padawan pada Khamis.

Pada majlis tersebut turut diadakan Majlis Penyerahan Tugas Pegawai Tadbir, Pejabat Daerah Kecil Padawan.

Datuk Dr Jerip juga telah menyampaikan cek geran projek luar bandar (MRP) berjumlah RM108,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan persatuan bagi Zon Bisitang.

Penerima terdiri daripada JKKK Kampung Sitang (RM10,000), Persatuan Kampung Bisitang (RM40,000), JKKK Kampung Simboh (RM30,000), JKKK Kampung Petag (RM10,000), JKKK Kampung Petag (Aktiviti Belia & Sosial) (RM3,000), JKKK Kampung Mambong (RM10,000) dan JKKK Kampung Mambong (Biro Wanita) (RM5,000). -EDISI UKAS

Share

add comment