Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak Rayu Pemilik Rumah Terjejas Beri Kerjasama

JUMAAT, 2 APRIL 2021

KUCHING: Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (JPPS) merayu kepada pemilik-pemilik rumah yang terjejas disyaki disebabkan oleh projek pembetungan untuk memberi kerjasama sewajarnya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

JPPS dalam satu kenyataan media pada Jumaat memberitahu, JPPS sedar dan mengambil maklum masalah yang dihadapi oleh pemilik-pemilik rumah yang terjejas dan segala kesulitan amatlah dikesali.

JPPS menambah, projek pembetungan yang sedang dalam pembinaan tersebut ialah Projek Pengurusan Air Sisa Bersepadu Kuching (Pakej 2).

“Ia merupakan satu projek yang dilaksanakan oleh JPPS di mana sebuah syarikat pembinaan (kontraktor) telah dilantik untuk mengendalikan projek tersebut.

“Untuk makluman, kerja-kerja pembinaan paip pembetungan di sepanjang kawasan berhampiran Kampung Tunku telah siap dibina pada penghujung tahun 2019,” kata JPPS dalam satu kenyataan media bagi mengulas beberapa laporan media baru-baru ini berhubung dengan isu keretakan rumah di Kampung Tunku, Petrajaya di sini yang disyaki disebabkan oleh projek pembetungan.

Dalam pada itu, JPPS menambah, sehingga 31 Mac 2021 mereka telah menerima sebanyak 248 laporan kes rumah yang terjejas dan sejak penghujung tahun 2019, pihak kontraktor telah memulakan kerja-kerja baik pulih dari rumah ke rumah.

Malah jelas JPPS, setakat ini, sebanyak 123 buah rumah telah siap dibaiki, 28 buah rumah sedang dalam peringkat baik pulih dan selebihnya adalah dalam peringkat proses siasatan dan persediaan untuk dibaik pulih.

“Pihak kontraktor telah memberi komitmen dan sedang berdaya usaha untuk menyelesaikan kes-kes selebihnya dengan secepat mungkin,” katanya. -EDISI UKAS

Share

add comment