Kelapa Mataq, Kelapa Pandan, Nanas Keningau Diomand Dan Petai Antara Tanaman Berpotensi Di Daerah Limbang

JUMAAT, 2 APRIL 2021

LIMBANG: Banyak pihak berminat menceburi bidang pertanian selepas projek khas di bawah Agriculture Facilitation Fund (AFF) mula diperkenalkan pada tahun 2019 dan 2020.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, di bawah AFF ini tanaman Kelapa Matag yang merupakan kacukan antara kelapa dari Filipina dan kelapa dari Malaysia iaitu varieti ‘Malayan Tall’ dengan ‘Tagnanan’ yang menghasilkan kelapa hydrid dalam penghasilan santan bukannya air.

“Di Kampung Benuas terdapat 47 orang peserta terlibat mengerjakan tanah masing-masing seluas satu ekar bagi seorang peserta dengan bantuan keseluruhan berjumlah RM157,575 bermula pada tahun 2016.

“Di Kampung Sayung kita menumpukan kepada Kelapa Pandan iaitu untuk air tetapi projek ini baru bermula pada tahun 2019, ini melalui Projek AFF. 

“Keseluruhannya ada 48 orang penerima dengan jumlah bantuan keseluruhannya RM422,400 melibatkan tanah seluas 48 hektar,” katanya. 

Beliau berkata demikian semasa berucap ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja ke Projek Kelapa Matag di Kampung Tuna dan Projek Kelapa Pandan di Kampung Sayung pada Selasa. 

Selepas itu, Datuk Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota telah meneruskan lawatan di Kampung Sembiling bagi meninjau Projek Tanaman Nanas Keningau Diomand milik pesara guru Abang Hassan Bohan.

Selain mengusahakan tanaman nanas, beliau juga menanam pelbagai tanaman lain seperti durian dan petai.

“Saya lihat petai juga mempunyai potensi untuk dikembangkan di Limbang ini. 

“Menurut Cikgu Abang Hassan sepohon pokok petai akan matang dalam tempoh 4 tahun dan ia bukan pokok bermusim, ia berbuah sepanjang masa, satu pokok petai sepanjang tahun mampu menghasilkan RM800 hingga RM1,000. 

“Bayangkan jika kita ada 12 pohon pokok sahaja, ia mampu menghasilkan RM12,000 setahun, maknanya RM1,000 sebulan,” ujarnya. 

Melihat kepada pasaran petai dan potensi pasarannya, Datuk Dr Abdul Rahman akan memohon satu dana khas untuk tanaman petai pada tahun-tahun akan datang. 

Hadir sama Pegawai Pertanian Bahagian Limbang Jakaria Rambli, Pegawai Pertanian (Pengembangan) Amirul Fikri Jemali dan Penolong Pegawai Pertanian Daerah Limbang Christopher Dawat Anur. -EDISI UKAS